Peringkat Pertama
Pada
tahap ini hendaklah kita wujudkan hubungan silatur-rahim melalui taaruf
ataupun perkenalan secara santai dan bersahaja. Kita mesti menunjukkan
rasa hormat dan berminat dengan apa sahaja subjek percakapan yang
berlaku.
Berusahalah untuk
menziarahinya di rumah atau bertemu di tempat-tempat yang tidak
mengganggu keselesaannya. Pada peringkat ini tidak perlu disentuh subjek
dakwah atau mesej utama yang hendak kita sampaikan.
Apabila
hatinya telah agak terbuka dengan persahabatan dan kemesraan yang kita
tunjukkan serta menampakkan hatinya yang terbuka untuk mendengar mesej
kita, perhatikan dahulu sama ada mesej kita akan disambutnya dengan ia
merasakan mendapat faedah dan manfaat daripadanya atau tidak.
Ingat,
penerimaan orang yang hendak diajak kepada dakwah kita bergantung
kepada sejauh mana kita memberikan perhatian dan menunjukkan kemesraan
kepadanya.
Peringkat Kedua
Setelah
hubungan bertambah mesra, mulakanlah perbualan dengan isu-isu semasa
yang berlaku dalam masyarakat. Jangan paksakan apakah isu yang hendak
dibawa. Lebih utama isu-isu ini ditimbulkan melalui lontaran-lontaran
soalan. Biar orang yang hendak dibawa kepada mesej dakwah kita itu
berfikir dan beliau sendiri yang mengetengahkan isu tersebut.
Mungkin sesuatu isu itu ditimbulkannya dalam bentuk persoalan juga atau mungkin dengan luahan hati dan pandangannya.
Jika
ia dalam bentuk luahan hati dan pandangannya, jangan cepat-cepat
menyanggahnya jika pandangan tersebut tidak selaras dengan pandangan
kita.
Sebaliknya, hendaklah kita melontarkan beberapa soalan ringan kepadanya untuk ia memikirkan apa yang diperkatakannya.
Jika
pandangannya bertepatan dengan pandangan kita, maka berilah perakuan,
pujian dan sokongan terhadap pandangan tersebut. Biarlah dia yang
bercakap agar apa yang didengarinya sendiri daripada ucapan mulutnya
akan lebih mengesani hati dan perasaannya.
Apabila
peringkat ini sudah berjalan baik, maka hendaklah kita menyentuh
sedikit sebanyak persoalan iman dan aqidah dalam isu-isu yang
dikemukakannya itu. Jika persoalan iman dan Islam sudah mula bertapak
dalam fikiran dan hatinya, dia akan melihat isu-isu itu dari sudut
pandang yang lebih luas dan merangkumi.
Bermula
daripada bibit-bibit iman inilah dia akan memikirkan betapa alpa dan
lalainya ia terhadap isu-isu yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan
masyarakat masakini. Asas ini akan menjadikannya mahu membuat anjakan
dalam dirinya dan seterusnya melakukan perubahan demi kebaikan diri dan
orang-orang yang terdekat dalam kehidupannya.
Peringkat Ketiga
Pada
tahap ini hendaklah kita membantu beberapa urusan hidupnya yang
memerlukan bantuan. Jika dia seorang yang masih lemah dalam kefahaman
Islamnya, maka bantulah ia untuk memahami asas-asas kefahaman Islam yang
utama. Hulurkanlah kepadanya rencana, majalah atau buku-buku ringkas
berkenaan Islam.
Sebaliknya jika
kefahaman dan amalan Islam asas telah beres pada dirinya, maka bantulah
ia untuk memahami Islam dalam konteks penghayatan yang lebih luas. Beri
makna kepada kefahaman dan amalan Islamnya dengan tuntutan dan
tugas-tugas untuk mencegah kemunkaran dan usaha memperbaiki masyarakat
sekeliling.
Peringkat Keempat
Pada
tahap ini sebaik-baiknya tingkat kefahaman dan keyakinannya terhadap
pengertian ibadah yang syumul. Tekankan bahawa ibadah dalam Islam
merangkumi segenap aktiviti hidup dalam pelbagai jurusan.
Urusan
mengurus dan menangani hal-ehwal sosial, kemasyarakatan, ekonomi dan
politik adalah juga termasuk ruang lingkup ibadah. Kemukakan sirah
perjuangan Rasulullah s.a.w dan para anbiya' dalam Al-Quran sebagai
bukti bahawa ibadah yang dituntut oleh Islam adalah amat luas maknanya.
Peringkat Kelima
Setelah
pintu kesedarannya sudah terbuka, yakinkanlah kepadanya bahawa tidaklah
cukupi baginya untuk menjadi seorang Islam yang hanya baik bagi dirinya
semata-mata.
Terangkan
kepadanya bahawa Islam merangkumi seluruh urusan kehidupan. Islam adalah
satu sistem yang lengkap dan sempurna. Islam adalah juga satu sistem
perundangan dan pemerintahan. Islam adalah kemasyarakatan dan
ketatanegaraan. Islam adalah dakwah, jihad dan ummah berdaulat.
Inilah
kefahaman sahih dan tepat terhadap Islam yang perlu kita terapkan
kepadanya. Dengan itu kita yakinkan dia bahawa kita bersama-sama wajib
melaksana dan menyempurnakan tugas tersebut kerana ia adalah perintah
Allah Rabbul Jalil.
Kita juga
mesti fahamkan kepadanya bahawa Islam mewajibkan kita berusaha dan
berjuang dengan bersungguh-sungguh supaya Islam berkuasa di muka bumi.
Di
atas sebab itu adalah wajib bagi kita menyampaikan seruan Islam kepada
manusia seluruhnya. Sebagai seorang Islam, tidak mungkin kita dapat
menghayati Islam yang sahih kalau kita hidup mengasingkan diri serta
tidak ambil peduli kesusahan dan penderitaan saudara-saudara Islam yang
lain.
Berbekalkan kefahaman
seperti ini, kita terus membimbingnya sehingga ia dapat merasakan
tanggungjawab untuk membela Islam, umat Islam dan masyarakat. Ajaklah
dia keluar daripada pengasingannya dan hendaklah ia bergerak dalam
jamaah Islam secara jamaie.
Setelah
rasa tanggungjawab dalam dirinya semakin bertapak, hendaklah kita
terangkan pula kepadanya bahawa tuntutan dakwah pada hari ini mewajibkan
setiap umat Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah
Islamiyyah yang melaksanakan syariat Islam.
Peringkat Keenam
Pada
peringkat ini kita jelaskan bahawa usaha untuk menegakkan sebuah
masyarakat dan pemerintahan Islam tidak mungkin dapat dilaksanakan
secara individu. Tugas ini mesti dilakukan melalui sebuah jamaah.
Melalui sebuah jamaah, segala usaha individu dapat digembleng dan
dipadukan.
Untuk tujuan itu,
kewujudan sebuah jamaah yang memperjuangkan cita-cita itu adalah satu
perkara yang wajib. Demikian juga menyertai dan menggabungkan diri dalam
sebuah jamaah yang memperjuangkan cita-cita ini adalah satu tuntutan
yang perlu dipenuhi.
Nyatakan
kepadanya inilah yang merupakan masalah terbesar umat Islam. Ramai di
kalangan umat tidak merasakan perlunya dibangunkan sebuah negara yang
melaksanakan syariat Allah. Ramai juga yang merasa bahawa tidak perlu
menggabungkan diri mereka dengan jamaah Islam kerana takut memikul
berbagai-bagai bebanan. Mereka lebih mengutamakan kesenangan dan
keselesaan diri mereka sendiri.
Jelaskan
juga bahawa hidup dan berjuang bersama-sama jamaah adalah sunnah
Rasulullah s.a.w, para anbiya, para sahabah, para auliya' dan solehin.
Nyatakan
bahawa dengan bergabung tenaga bersama-sama dengan jamaah Islam, Allah
akan memberi ganjaran pahala yang besar dan keberkatan hidup yang
sentiasa dirahmati-Nya.
Peringkat Ketujuh
Setelah
meyakinkannya bahawa ia perlu bergerak dalam sebuah jamaah Islam, maka
terus tawarkan beliau untuk menyertainya. Jika timbul persoalan tentang
gerakan dan pertubuhan Islam yang lain, jawablah dengan baik tanpa
memburuk-buruk atau menyerang mana-mana pihak yang juga sedang
menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiyyah.
Tunjukkan
syaksiyyah tinggi dan sifat mulia kita tanpa merendah-rendahkan
mana-mana pihak. Katakan bahawa semua pihak yang menjalankan kerja-kerja
kebajikan, pengislahan dan berjuang menentang kezaliman dan penindasan
serta berusaha menegakkan kebenaran dan keadilan adalah rakan-rakan
kongsi sesama jemaah dalam perjuangan ini.
Mulakan
dakwah dengan mendekati, menyeru dan mengajak mereka yang tidak tahu,
lupa atau lalai tentang ajaran Islam. Selepas itu, beransur-ansur dan
sedikit demi sedikit dari satu peringkat ke satu peringkat kita
pertingkatkan diri mereka dengan ajaran dan tuntutan Islam dan
perjuangan menegakkan Islam.
No comments:
Post a Comment