Saya terhanyut dek arus dari segi pemikiran saya. Kata-kata indah dan pujian di dalam surat-surat itu menyebabkan saya terlentok. Memang lelaki pandai bermain kata-kata. Waktu itu hidup saya penuh dengan angan-angan. Kadang-kadang syaitan membisikkan agar saya melayani surat-surat yang datang. Tapi alhamdulillah, berkat didikan yang saya dapat secara sedar ataupun tidak di sekolah agama, saya rasa malu dan bersalah untuk berbuat begitu biarpun waktu-waktu dalam hidup saya kian dibuai keasyikan.
Kemudian, keasyikan itulah yang menjejaskan pelajaran saya. Saya tak dapat tumpukan sepenuh perhatian dalam kelas. Ketika waktu ulangkaji pun, isi surat-surat iitu mengganggu minda saya untuk fokus. Saya terlalu asyik kerana mungkin itulah pengalaman paling mencabar dalam dunia remaja.
Saya mula bertanya diri, apakah yang telah angan-angan berikan dalam hidup saya ini? Hanyalah kegagalan. Cintalah punca angan-angan. Saya mula dilanda keliru dengan dunia cinta walaupun ianya cuma berlegar di sudut hati, bukan secara zahir. Saya tak pernah menterkemahkannya. Tapi, hatilah yang menjadi raja, pemberi arahan kepada seluruh anggota tubuh kita. Saya bertanya lagi, bersihkan hatiku ini? Layakkah hati sebegini untuk menadah nur ilmu? Bukankah ilmu itu cahaya dan cahaya takkan menembusi hati yang berbuat maksiat?
Saya rasa lebih bersalah lagi apabila keputusan peperiksaan akhir tahun saya agak merosot. Saya cemburu pada rakan-rakan yang sebelumnya tak pernah mengatasi saya dalam pelajaran tiba-tiba jauh meninggalkan saya. Saya buntu. Tak tahu nak mengadu pada siapa. . . .
Saban hari, dengan tazkirah dan usrah yang menjadi aktiviti wajib di sekolah, entah bagaimana saya rasa tertarik dengan ungkapan "cinta Allah". menurut ustaz-ustaz dan naqibah, saya dapat simpulkan bahawa cinta Allah tak mengecewakan. Cinta-Nya sentiasa membawa kebahagiaan kepada hati, perasaan dan kehidupan. Baru saya sedar bahawa dalam hidup ini, saya ada Allah untuk dicintai. Allah sentiasa menanti dengan penuh cinta terhadap hamba-Nya, cuma saya yang tak kenal cinta Allah. Pintu taubat-Nya sentiasa terbuka luas untuk dikunjungi.
Saya mula bertekad untuk mencari cinta agung itu. Saya cuba bersihkan hati dengan mengamalkan banyak amalan sunat dan zikir. Tika itu,sukar juga untuk istiqamah terutamanya tahajjud. Namun menyedari ada rahsia cinta Allah di sebalik amalan-amalan itu, saya paksa juga diri agar ia sebati menjadi sebahagiaan daripada kehidupan saya, darah daging saya. Saya mula dapat rasai kelainan pada suasana hati saya. Melihat kawan-kawan yang tak diuji dengan lelaki, saya terfikir alangkah indahnya kalau cinta untuk Allah ini tak pernah dicemari oleh cinta dusta manusia.
Rasa macam bodoh pula hidup dengan angan-angan cinta, sudahlah masih bersekolah..... Semua itu ternyata sia-sia. Buang masa dan boleh tergadai cita-cita.
Gebap 17 tahun, saya genggam azam baru. Saya ketepikan lelaki daripada fikiran saya. Hati saya yakin bahawa cinta Allah mampu mencemerlangkan akademik saya kerana Dialah penetu segalanya. Bukan sekadar akademik, tapi cinta Allah mampu membawa kebahagiaan yang hakiki. Dialah sumber inspirasi dan pemberi motivasi.
Saya boleh rasakan bahawa saya amat perlukan Allah untuk membantu saya dalam mendepani fatamorgana dunia remaja. Cinta lelaki hanya akan merampas perasaan ini terhadap Kekasih Agung saya. Pemikiran saya rasa lebih terarah apabila sedikit sebanyak mengenal cinta Allah, seterusnya tindakan juga lebih terpandu. Saya mula memberi perhatian pada pelajaran dan habiskan waktu lapang untuk mengikuti majlis-majlis ilmu. Saya yakin bahawa tarbiyah inilah mampu menyemarakkan lagi cinta saya pada Pencipta. Siang malam saya berdoa agar Allah hadirkan rasa cintadan rindu kepada-Nya dalam jiwa saya yang kosong ini. Saya ingin jatuh cinta pada Allah. Saya dapat rasakan ketenangan jiwa yang lebuh bermakna.
Saya terus mencari cinta-Nya. Hinggalah keputusan SPM diumumkan, saya menjadi salah seorang pelajar terbaik di sekolah. Susah nak percaya. Semua itu kerana cinta Allah yang sebenar. Saya bertambah yakin bahawa cinta Allah takkan mengecewakan saya. Hanya apabila tersemai semangat mencari cinta Allah dalam jiwa, barulah saya kenal nikmat cinta yang sebenar. Kudus dan suci. Sebab itulah pada usia ini, CINTA ALLAH TAK BOLEH DIKONGSI DENGAN SESIAPA. Itu prinsip saya."
No comments:
Post a Comment